|
|
||
|
Kategori : Remaja |
||
|
|
||
|
Di bawah ini adalah antara isi novel Takdir Nor Aida. Semoga anda terhibur. |
||
|
Pemula takdir ini... “KALAU mak tidak beri Aida kerja di situ, kenapa hantar belajar tinggi-tinggi!” suaranya membentak-bentak. Begitu juga kakinya. Itu memang sebenar-benarnya kata-kata yang datang dari hatinya. Dia ingin mendengar jawapan dari emak, jawapan yang diharapnya dapat menjawab segala persoalan hatinya. Emak tidak menjawab. “Makk... Bukan ke elok, kalau awal-awal lagi, jangan bagi Aida ambil kursus itu pun!” Nada suaranya sedikit tinggi. Lebih tinggi dari biasa. Dia sebenarnya bukan marah tetapi kecewa. Rasa hajatnya terbantut. Tersentak. Seperti hendak menjamah makanan kegemaran tetapi tidak sempat kerana makanan itu dirampas orang. Dan dia tahu, tidak mungkin berdaya merampasnya kembali kalau yang ‘merampasnya’ adalah emak! Emak menunduk dan memusingkan badannya, membelakangkannya. Rambut hitam pendek emak ditenungnya. Separuh pada rambut itu sudah mula memutih. Emak semakin berumur. Semakin tua dan tua setiap hari. Kenyataan itu sedikit sebanyak merisaukan hatinya. Tetapi dia tetap kecewa dengan emak. Lima puluh lima tahun! Tidak tuakah usia itu? Sikap emak yang selama ini periang, suka bergurau, melawak dan ketawa membuatkan dia nampak muda selalu. Nampak awet muda. Emak masih cantik, lebih cantik dari teman-teman seusianya. Dia tidak berniat hendak meninggikan suaranya. NOR AIDA SHAFIE memang terkenal dengan sifatnya yang garang dan lantang tetapi dengan emak, dengan orang yang lebih tua, dia tahu menjaga tata susilanya. Dia diajar supaya berbudi bahasa dan tidak kurang ajar dengan sesiapa. Entah kenapa dia boleh membentak begitu sekali dengan emak. Dia bukan anak yang degil dan suka melawan. Dia anak manja emak, anak kesayangan ayah. Mereka dunia dan hidupnya. Emak terus menunduk. Jatuh bahu Aida. Terkedu. Tadi dadanya ke depan, dagunya tinggi, mulutnya memuncung, matanya liar. Kini semua itu jadi kontang. Hilang. Itu tanda-tanda dia mengalami kekalahan. Kekalahan yang biasa dengan emak... Maka emak pun menangis. Alahai. “Mak... maafkan Aida. Aida tidak bermaksud...alahhh... mak ni...” Dia terus memeluk emaknya. Air mata emak meruntuhkan segala semangatnya. Tadinya bagai ada semangat untuk melawan dan mendapatkan haknya. Tadi dia ingat dirinya kuat dan tabah. Namun dengan emak, hati Aida cair dan mendap. Dia sudah 23 tahun. Sudah enam bulan mendapat diploma dan kini sepatutnya sudah bekerja. Dia ingin mengembangkan sayap. Dia ingin terbang. Apa yang dipelajari mahu dipraktikkan dan kelak dia akan mahir dan hebat dalam bidangnya. Itu harapan dan azamnya. Tetapi semua hajat dan citanya hilang tatkala melihat air mata emak. Siapa dalam keluarga mereka yang boleh melawan kuasa air mata emak? Baik dia, Abang Kamil mahu pun Aini. Dia rasa mahu berlari, masuk ke bilik dan mengunci pintunya selama-lama di situ. Biar dia tidak perlu ke mana-mana. Biar sampai mati, terkurung dan kecewa. Semua kawan-kawan rapatnya sudah bekerja berterabur merata negara. Timur, Selatan, Utara, semuanya di hotel-hotel terkenal yang dia kenali namanya sebelum itu. Ada yang lima bintang, empat dan tiga. Ada yang bertugas di restoran terkenal dan mendapat gajinya tinggi-tinggi belaka. Baru minggu lepas, temannya Aliah, diterima bekerja di kapal persiaran mewah luar negara. Dapat belayar di lautan luas, melihat pemandangan indah, singgah di negara orang, seluruh Asia Tenggara, dapat ramai kawan... Aida membayangkan segala-galanya hingga termimpi-mimpi. Alangkah seronoknya Aliah! Adakah dia mahu bebas? Bukan! Dia mahu pengalaman, mahu merasainya sendiri. Dia? Dia masih meminta wang belanja dari ayah, emak atau Abang Kamil. Dia belum merasa keseronokan memegang wang gaji sendiri. Sudah 23 tahun tetapi masih mendapat elaun bulanan daripada ayah. Seronok? Langsung tidak. Sebaliknya sungguh mengecewakan. Malu dengan kawan-kawan. Kalaulah mereka tahu, pasti dia menjadi mangsa ejekan dan ditertawakan. Harap teman-teman rapatnya yang tahu tidak menghebahkannya melalui e-mel. Janganlah mereka berchatting di Internet sambil mengutuknya. “Aida..,” suara emak bercampur sendu akhirnya didengarinya juga. “Emak tidak mahu Aida kerja hotel!” “Mak... Aida kerja hotel bukannya buat apa-apa. Aida tukang masak mak, masak lauk, bakar kek, buat kuih, buah pastri, semua-semua itulah. Itu kan yang Aida belajar di kolej, mak?” Aida melembutkan suaranya seboleh mungkin. Tidak mahu lagi menjadi punca banjir air mata emaknya. Bahu emak didakapnya, digosok-gosoknya. Aida terus mencari kata-kata. “Bukan... bukan Aida kerja hotel, buat kerja-kerja yang tidak baik. Mak pun pernah pergi hotel, tinggal di hotel, hi-tea di hotel. Kalau tidak ada tukang masak, siapa yang nak datang makan. Mak...” “Mak tidak mahu Aida kerja shift, tidak menentu sianglah, malamlah. Emak risau...” “Mak... alahai mak. Kalau pun Aida kerja malam, bukan Aida seorang saja yang kerja kat dapur tu, ramai lagi. Ada beratus lagi orang lain yang kerja juga, mak...” Berjaya? Entahlah. Kata ayah, kalau emak tidak restu, baik jangan teruskan. Yang menghairankan, ayah juga seperti bersetongkol dengan emak kali ini. Selalu ayah membelanya. Selalu ayah bertindak seperti peguam bela yang cuba memenangkannya. Ayah memang selalu memenangkannya walau jika dia bergaduh dengan adiknya si Aini. “Ayah..,” rengeknya pada si ayah bila emak berlalu ke dapur. “Ayah pujuklah mak! Tolonglah ayah!” kepalanya terdongak-dongak, terintai-intai ke arah dapur. Risau didengar emak yang sedang kelontang-kelonting mula sibuk memasak. Kalau sudah begitu bunyinya, itu tanda emak sedang marah. “Ayah nak buat macam mana?” Sejak tadi ayah ada berdekatan tetapi pura-pura tidak mahu masuk campur. Suratkhabar dibeleknya berkali-kali tanpa membaca. Telinga pula besar, mencuri dengar setiap butir yang Aida dan isterinya katakan. Konon dia tidak tahu hujung pangkal. Tidak menyebelah mana-mana pihak. “Ayah sejukkanlah hati mak tu...” lagi panjang bunyi rengeknya. “Aida, kalau ibu tidak restu, baik jangan langgar. Tidak berkat, tidak berjaya nanti!” Ayah pula makin menakutkannya. Itu kata-kata yang sudah banyak kali diulang. “Habis tu Aida nak buat apa, yah. Aida sudah enam bulan menganggur. Semua kawan-kawan Aida sudah kerja. Takkan Aida nak memerap saja di rumah ni!” Kamil tiba-tiba berdehem. Tadi diam saja dia, menumpu penuh pada rancangan televisyen kegemarannya – CSI Miami. “Alah, susah-susah, kahwin saja Aida!” Itu kata-kata yang keluar selepas dehem yang dibuat-buat. “Banyak cantik muka abang! Hendak kahwin dengan siapa?” Kamil ketawa berdekah-dekah. Aida tahu itu ketawa yang dibuat-buat. Lagi hatinya geram pada si abang. “Kahwinlah dengan sesiapa pun... Iklan dalam suratkhabar ke... gerenti ramai yang hendak!” Kata Kamil. “Ah... betul juga. Offer wang tunai sikit, huish.... buat macam realiti TV tu, pasti berderet orang datang nanti.” Ayah pula.......
IKUTI KISAH SETERUSNYA TAKDIR YANG MENIMPA NOR AIDA, DAN MENGAPA IBUNYA SANGGUP BERBUAT BEGITU?. |
||
| ◄Kebelakang | ||
| ►Laman Utama |