| Anda pegunjung ke : | ||
|
Takdir Nor Aida |
||
|
Kategori : Remaja |
||
|
|
||
|
Contoh Bab |
||
|
“NAMANYA?” “Belum bernama lagi, kak. Ikut suka kakaklah... Saya serahkan pada kakak..,” suara wanita itu tidak langsung teragak-agak. Seperti dia memang sudah mahukan begitu. “Sudah berapa hari?” “Seminggu. Jumaat ini genap seminggu...” “Siapa lagi saudara mara yang dia ada?” Rengekan dari si kecil membuatkan wanita itu lambat menjawab. Matanya tertumpu pada si kecil. Tidak sangka mereka dapat bertemu. Kalau tidak kerana teman rapatnya yang bercerita tentang nasib malang keluarga itu, mungkin dia dan suami dalam perjalanan ke rumah kenduri kahwin di Kajang. “Lapar agaknya.... ini susunya..,” wanita itu mengunjukkan botol yang masih ada separuh lagi isinya. Mungkin lebihan dari tadi, fikirnya. Dia memerhati mulut kecil itu menikmati susu yang disuakan padanya. Wajah wanita itu cukup hiba. “Saya seorang saja kak. Saya dan bapanya hanya dua beradik. Emaknya pula orang Siam. Saya tidak tahu banyak tentang keluarga sebelah sana.” Budak itu kemudiannya diambil dan diletak atas ribanya. Cukup kecil. Disangkanya si kecil sudah mengantuk kekenyangan tetapi sebaliknya matanya terbuka sedikit, semakin lama semakin besar, mata itu kemudiannya terbuka luas, hitam pekat memandang tepat ke wajahnya. Wajah kecil comel itu kemudiannya bergerak-gerak. Bibirnya menguntum senyum, senyum padanya. Mereka saling berpandangan. Hatinya terus tersentuh. Disentuh senyuman maha manis itu. “Betul nak beri pada kami?” Akhirnya dia bertanya soalan itu. Hajat hendak bersedekah entah ke mana. Lain pula jadinya. Semuanya kerana sekuntum senyuman... “Betullah. Saya sendiri anak ramai, susah pula. Lebih baik lagi kalau dia tinggal dengan orang macam kakak. Insya-Allah hidupnya lebih senang. Saya harap kakak jaga dia seperti anak sendiri.” “Saya cuma hendak membantu. Itu niat saya...” Jika pada awalnya dia rasa berbelah bagi tetapi kini tidak lagi. Dia tahu itu yang mahu dilakukannya. Itu takdir yang sudah tersurat. Dia tidak akan berundur lagi. Kata hatinya mahu dia mengambil bayi itu. Memeliharanya. “Suami kakak setuju?” “Dia pun sama. Niat nak membantu.” Anggukan si suami menandakan kata sudah sepakat, hati sudah terpikat. “Dah... kalau begitu, saya serahkan budak ini pada kakak! Saya amanahkan dia pada kakak. Biar dia jadi anak yang soleh, orang yang baik-baik. Saya diberitahu kakak dan suami, orang yang baik hati, berpekerti tinggi...” Wanita itu mengelap air mata yang mula berjurai di pipinya. Sedih dia hendak berpisah dengan anak saudaranya, zuriat adik lelakinya sendiri. Tetapi dia terpaksa. Beberapa kali si wanita menerangkan, keadaan tidak membenarkan dia menambah mulut untuk disuap. Suaminya hanya bekerja kampung. Makan minum mereka pun sering dicatu. Kais pagi makan pagi, petang belum tentu ada. Mereka amat susah. Namun wanita itu tetap rasa bersalah. Dalam perjalanan pulang, sambil meriba bayi yang lena, dia tidak henti-henti teringat pada kata wanita tadi. Terngiang-ngiang di telinganya. Tidak pernah dia melihat bayi secomel itu. Tatkala mata mereka bertentang, hatinya terus tertawan. Dia terus memeluk dan mencium pipi halus mulus, yang cukup harum. Kasih sayang terus tertumpah. Suami di sisi hanya tersenyum. Syukur mereka sama-sama setuju untuk memelihara anak yatim piatu itu. Ibu bapanya meninggal dalam kemalangan kereta. Cukup tragik. Menurut cerita, si bapa menyewa teksi sapu untuk membawa isteri dan bayi yang baru dilahirkan balik ke rumah mereka. Dalam perjalanan pulang, teksi mereka terbabas dan bertembung kereta lain. Pemandu teksi, ibu dan bapa terus meninggal di tempat kejadian tetapi bayi yang baru berusia dua hari terpelosok di bawah tempat duduk, tidak langsung cedera atau pun luka. Allah mahu dia terus hidup dan dikasihi. Kini bayi itu milik mereka sekeluarga. Peristiwa yang berlaku cukup bersejarah. Ketika bayi itu diserahkan, azan berkumandang. Serentak, dia nampak warna pelangi menghiasi langit kerana sebelum itu hujan renyai membasahi alam. Cukup indah sekali. Bayi itu memerlukan perlindungan mereka sekeluarga. Dia akan mengasihinya bagai darah dagingnya sendiri. Mereka sekeluarga akan memulakan hidup baru di kota raya. Bersama bayi ini segala-galanya pasti lebih ceria dan bahagia. Sinar bahagia itu mahu dikecapinya, selama-lama. |
||
| Baca Seterusnya | ||
| ◄Kebelakang | ||
| ►Laman Utama |