Radio Selangor FM - 100.9

Siapa DJ Yaafar Shahab?

 

 

 

Halaman UtamaKata KusyiProdukKaunselingAgamaAkhmar

New Page 2

Tulisan: Kusyi Hirdan

Gambar: Zulkeflee Haron

 

ANDA suka mendengar radio stesen mana? Terlalu banyak yang melata di seluruh Malaysia. Baik di negeri mahu pun di Lembah Kelang. Ada yang bertaraf nasional, dapat di dengar seluruh Malaysia, ada yang cuma untuk negeri dan radius sekitarnya.

 

Tinggal di Kuala Lumpur membuatkan penulis bosan dengan radio ibu kota sebaliknya suka mencari kelainan. Kadang-kadang mendengar Pahang FM, Johor FM dan juga Negeri.

Selain Klasik Nasional, baru-baru ini penulis menjadi regular kepada Selangor FM - 100.9. Pertama kerana pengulas sukannya yang jadi peminat penyokong bolasepak Selangor di pejabat.

Kedua, baru-baru ini, kerana kewujudan Yaafar Shahab di situ.

 

Siapa Yaafar Shahab?

Selain juruhebah yang berpengalaman, sejam bersembang dengannya tentu saja tidak cukup untuk bercerita tentang pengalaman, minat dan suasana dirinya yang menjadi bapa kepada 3 cahaya mata. Dua daripadanya sudah melangkah ke IPT, yang bongsu baru 8 tahun. Yaafar ternyata sangat bahagia dengan keluarga dan alam rumahtangga, selain kerjaya yang sangat interesting dan challenging.

 

Gambar: Yaafar bersama isteri, Maznah.

 

Tahun depan, 25 tahun Yaafar menjadi warga kerja RTM. Awalnya Radio Kawasan Utara Pulau Pinang, 1982 - 1994 kemudian dia berpaut pula di dahan stesen radio yang kini bernama Selangor FM, 100.9.

Katanya dia puas menjadi juruhebah. Kerjaya itu gambaran kegembiraan dan menepati jiwanya yang memang sukakan muzik dan lagu.

Nama Yaafar katanya berkait rapat dengan bulan kelahirannya, bulan Safar. Namun dengan nama unik itu, ia jadi pengingat pada pendengar dan pengikut setianya.

Yaafar mengaku dia amat suka berkawan, tidak kira siapa, tinggi atau rendah tahapnya. Setiap satu ada kelebihan dan memberi makna dalam perjalanan hidupnya hingga kini. Setiap satu mengajarnya menjadi lebih baik dan memperbaiki diri.

"Dapat saya katakan kerja sebagai juruhebah memang menyeronokkan. Keseronokan dan kelebihan yang rasanya kita tidak dapat dari kerjaya lain. Dapat mengenali orang,  pelbagai kerjaya dari orang atasan, hinggalah ke petani, peladang, hinggalah ke gangster. Bidang ini memberi peluang saya menemui mereka semua. Banyak mengajar saya.

 

"DJ dahulu memang kena turun padang, jumpa orang dan bercerita, bersembang dengan mereka. Bagi saya juruhebah sekarang ni lebih ke arah dunia yang glamor, tidak seperti kami dahulu."

Selain juruhebah, Yaafar juga satu-satunya DJ yang pandai bermain silapmata. "Rasanya, seluruh Malaysia, hanya saya seorang saja juruhebah yang ada bakat dan minat ini," cerita Yaafar memula bicara lewat petang itu. Hari semakin menghampiri senja.

Dia santai bercerita, ramah dan mudah mesra. Sesuatu yang tidak dilihat lagi pada juruhebah muda. Melalui pengalaman, hendak menemui mereka begitu susah, umpama top star dan selagi tidak berurusan dengan PR jangan harap dapat bertemu. Ini penulis tujukan pada satu stesen radio swasta yang baru setahun jagung beroperasi, yang kononnya stesen panas, begitu juga juruhebahnya.

Berbeza orang-orang lama, cara mereka cukup berhemah dan sikap merendah diri juga genuine.

Berbalik cerita Yaafar yang multi talented, minat membuat silap mata sebenarnya dikongsi bersama isterinya, Maznah Mohid. Maznah sendiri menyelenggara perniagaan yang berdasarkan event management, promoter artis dan juga persembahan pentas dengan syarikatnya Showtime Entertainment.

Bermakna, selain ada juruhebah dalam keluarga kecil ini, suami sebagai tunggak utama, si isteri pula berpadu tenaga menjadikan minat mereka sebagai sumber rezeki keluarga.

"Isteri saya tumpukan jaga perniagaan, saya dengan RTM pula bekerja tetap." jelasnya. Maznah nampaknya memastikan syarikat Showtime Entertainment aktif beroperasi.

 

Tidak sengaja jadi juruhebah

Anak kelahiran Sungai Petani ini menempuh kerjaya juruhebah asalnya secara tidak sengaja. Tamat sekolah dia tidak betah membuang masa sebaliknya mahu terus memajukan diri.

Yaafar, anak sulong tiga beradik, masih ingat betapa dia perlu melalui ujian suara, sebulan kemudian kena ujian bertulis pula. Tapi segala itu menjadi kenangan manis baginya, yang kekal diingatannya hingga kini.

"Tunggu lagi sebulan. Temuduga pula. Memang panjang perjalanannya. Tak sama macam sekarang, proses lebih mudah. Kami dulu perlu melalui ujian demi ujian. Selepas beberapa bulan baru dapat berita baik, saya diminta melapor diri di radio Pulau Pinang. Di situlah saya mula mencipta nama dan kerjaya.

"Sebagai DJ lama, saya merasa mengguna piring hitam, saya sebagai juruhebah dan ada seorang pembantu yang bertugas sebagai pemasang lagu. Sekarang ni zaman CD dan komputer. Sekarang ni perkataan 'kesilapan teknik' tidak boleh guna lagi. Nanti juruteknik marah. Begitu juga zaman  zaman surat-menyurat, sekali datang poskad, berkotak-kotak banyaknya. Sekarang satu poskad pun tak dapat. Dulu keseronokannya lebih menyentuh perasaan." Imbauan kenangan lama memang seronok bila disembangkan. Ternyata Yaafar bersyukur, pengalaman lalu tidak hanya mematang tetapi turut memberi peluang dia menimba ilmu.

"Tetapi zaman dulu dan sekarang, sama-sama bagus cuma saya dapat rasa suasana zaman itu. Dapat rasa dua suasana berbeza. Sekarang ni, dengan dunia IT dan sms, memang begitu memudahkan. Kita pun ikutlah peredaran dan kemodenan zaman..."

Cerita Yaafar lagi, tidak ada anak-anak yang mengikut jejaknya berminat menjadi juruhebah.

"Mungkin sekarang tak nampak lagi, kita tidak tahu apa yang berlaku di masa depan. Macam saya, asalnya minat bidang kejuruteraan elektrikal. Tetapi tidak ke situ jadinya. Kemudian selepas setahun bekerja di RTM pernah mendapat tawaran kerja sebagai pegawai imigresen. Saya tidak menerima kerana risau dihantar ke kawasan luar bandar. Sebab kalau dengan RTM memang kami ditempatkan di daerah bandar saja. Nampaknya jodoh dan rezeki saya lebih kuat dengan RTM, hingga kini."

 

Minat silap mata

Mula berminat di bidang silap mata pada tahun 1974. Bila David Copperfield datang ke Malaysia, Yaafar mula terfikir, minat dan pelajaran yang didapatinya dari empat guru kenapa tidak dikembangkan? Jadi, dengan isterinya dia mengambil keputusan untuk mengembangkan minat itu sementelah Maznah juga turut menaruh minat mendalam di bidang itu.

Selain bidang silap mata, Yaafar, 45 dan isteri juga ada hobi yang lain, yang tidak kurang menariknya. Mereka ada lesen radio amatur yang membolehkan keduanya berhubungan rakan-rakan baru di seluruh dunia.

Semuanya atas minat dan prinsip pasangan ini yang gemar berkawan dan mengenali orang baru tidak kira bangsa dan agama. Yaafar dan Maznah turut menyertai kelab yang mengumpulkan insan-insan berminat sama seperti mereka.

"Kami juga badut, clown yang menghibur di majlis korporat."

Begitu banyak kelebihan Yaafar dan isterinya. Untuk dicungkil dalam masa yang begitu singkat tentu saja tidak mencukupi. Dengan janji untuk bertemu dan bercerita lagi, penulis dan jurugambar meninggalkan keluarga bahagia itu. Berjumpa Yaafar Shahab hari itu memang kenangan manis. Begitu juga rasa kekaguman pada insan juruhebah yang selalu didengar suara, tidak kenal rupanya.

Hari itu kami mengenalinya.