Norzizi Zulkifli makin berseri...
Tulisan: Kusyi Hirdan (jendelaku06@yahoo.com)
Gambar: Zulkeflee Haron
Wajahnya tampak gementar dan jelas dia seperti berdebar-debar. Sibuk dia menyelengara itu ini. Ke sana dan ke sini. Memang perasaan Norzizi Zulkifli bercampur baur. Seronok dan teruja.

Dari kiri, Ketua Pengarah Istana Budaya, Dato' Azhar Abu Bakar, Aznil Nawawi, Zaifri, Zizi dan Koreografer tarian, Aris. Turut serta pelakon utama teater muzikal Ali Baba.

Siapa tidak kenal anak pasangan pelakon
hebat Normala Omar dan Zulkifli Zain ini.
Sekembali ke tanahair setelah melanjutkan
pelajaran di bidang pengarahan teater di
London, dia mendapat kepercayaan Istana
Budaya untuk membantu Zaifri Hussain
mengarah teater muzikal kanak-kanak,
ALI BABA yang menampilkan Aznil Nawawi
sebagai satu-satunya orang dewasa.
"Ya, 80 orang lagi semuanya budak-budak.
Dari 5 hingga 12 tahun. Jadi bayangkanlah..."
ketawa kecil Zizi bercerita. "Walau teruja tapi
susah hati tu tetap ada. Kami diberi sebulan
untuk melatih dan polish budak-budak yang
semuanya bakat baru. Bukan mudah tetapi bila tengok hasilnya semakin menjadi, sudah membentuk, perasaan gembira tak dapat dibayang."
Zizi yang sedang hamil enam bulan merasakan perbezaan suasana kerja sekarang berbanding dulu, ketika dirinya tidak berbadan dua.
"Rasa stress tu memang ada. Ini pengalaman pertama mengandung. Rasa tu memang lain. Dulu tu boleh jerit-jerit tapi sekarang kena adjust, kena minta tolong orang. Memang mencabar. Letih sangat. Biasalah budak-budak, macam-macam perangai, menguji kesabaran tapi itulah asam garamnya. Ingat-ingat balik, dulu ketika saya aktif mengarah teater tidaklah penat begini, sekarang balik rumah terus nak tidur."

Beginilah kerenah 80 kanak-kanak yang perlu diberi tunjuk ajak lakon dalam satu-satu masa. Memang hiruk pikuk.
Bagaimana mengawal 80 kanak-kanak?
"Saya seronok bekerja dengan Zaifri. Suka dengan cara kerja dia. Dia pandai bermain dengan emosi budak-budak. Saya sendiri pun dalam proses belajar jadi ini memberi pengalaman yang sangat berguna pada saya.
"Saya terlibat dari awal lagi, dari pemilihan. Sukar mencari talent budak-budak dan kriteria Zaifri, dia mahukan ketiga-tiga, mesti boleh menyanyi, menari dan berlakon.
"Kemudian kami cari yang paling outstanding dan menyerlah. Lihatlah Ali Baba yang kami pilih, paling comel, pandai sangat menyanyi, meremang bulu roma bila pertama kali mendengar dia menyanyi.
Tentang diri...
"Sebenarnya saya sudah masuk kerja di UiTM tapi sekarang cuti semester jadi belum start teaching lagi. Insya-Allah akan betul-betul teaching selepas bersalin bulan Mac nanti.
Saya masih minat berlakon, mahu berlakon macam dulu. Masih mahu aktif. Bila saya balik Malaysia, memang sudah mengandung jadi saya tak ambil job. Satu lagi mungkin sudah bertudung ni orang risau kot-kot saya tak mahu berlakon lagi. Harap-harap orang tak anggap begitu sebab saya memang hendak berlakon sampai bila-bila. Itu minat utama saya.
Kalau nanti buat kerja pengarahan, mungkin hanya teater, drama atau telemovie. Filem, memang saya tak minat.
Rasanya semuanya akan bermula semula selepas bersalin nanti.

