Salam Aidilfitri

Halaman UtamaKata KusyiProdukKaunselingAgamaAkhmar

New Page 2

Wakil Rakyat perlu ambil iktibar kes Zakaria

KONTROVERSI Datuk Zakaria Md Deros, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang akhirnya terjawab apabila Sultan Selangor menasihati beliau agar melepaskan jawatan sebagai Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Teguran baginda seharusnya diambil tindakan serius oleh ahli politik dan pemimpin masyarakat di Selangor supaya melaksanakan tanggungjawab, menggunakan kuasa dengan betul dan mengikut undang-undang.

Teguran Sultan Selangor itu menggambarkan rakyat sudah prihatin dan peka terhadap pemimpin mereka sehinggakan ada yang membuat aduan terus kepada Sultan. Selepas ini pemimpin masyarakat, wakil rakyat dan ahli politik di Selangor haruslah ikhlas dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Kes Zakaria adalah contoh dan pengajaran kepada wakil rakyat dan ahli majlis yang berkhidmat agar menunaikan amanah diberikan oleh rakyat dalam melaksanakan tugas. Kepentingan peribadi wajib dipinggirkan dalam menjalankan tugas.

Saya pasti banyak lagi aduan yang diterima oleh baginda daripada rakyat Selangor. Mungkin masalah Zakaria ini adalah yang paling utama setakat ini sehinggakan baginda memanggil menghadap Zakaria ke istana.

Cuma yang agak menghairankan mengapakah perlu menunggu Sultan memanggil Zakaria untuk ‘mengesahkan’ salah laku yang dilakukan oleh Zakaria? Apakah kerajaan negeri tidak ada kuasa atau ‘kebalkah’ Zakaria sehingga arahan istana perlu dikeluarkan terlebih dulu untuk dilaksanakan oleh pentadbiran negeri?

Di kalangan penduduk bandar Klang, peristiwa Zakaria dipanggil Sultan adalah topik utama perbualan di mana-mana saja sehinggakan ada yang berseloroh ‘Sultan Selangor marah kepada ‘Raja Klang’.

Masyarakat di Klang dahagakan pemimpin terutama wakil rakyat yang penuh bertanggungjawab dan mesra rakyat. Mungkin slogan ‘mesra rakyat’ perlu diubah tanggapan. Bukannya rakyat yang hendak bermesra dengan wakil rakyat, tetapi wakil rakyat yang perlu bermesra dengan rakyat.

Kekebalan Zakaria di Klang bukannya menjadi rahsia sejak dari dulu lagi. Kuatnya Zakaria sehinggakan tiada siapa berani menegurnya. Rakyat sungguh hairan kerana kesalahan dilakukan sudah jelas tetapi masih tiada tindakan dilakukan MPK mahupun kerajaan negeri.

Pentadbiran kerajaan negeri perlulah memberikan kursus khas kepada semua pemimpin masyarakat termasuk wakil rakyat seperti kursus berbentuk komunikasi dan cara berurusan dengan orang ramai. Mungkin juga patut diberikan kursus berbudi bahasa dan bersopan santun seperti kempen kerajaan pusat sekarang.

Zakaria adalah contoh jelas dan nyata terdapatnya segelintir wakil rakyat yang lebih mementingkan soal peribadi dan keluarga demi mengejar kekayaan dan kemewahan dengan menggunakan kuasa yang ada.
 


Harapan rakyat amat besar jika kerajaan betul-betul menapis dan menyelidik latar belakang seseorang sebelum dilantik menjadi ahli majlis mahupun sebagai calon Barisan Nasional. Mungkin penampilan seseorang itu apabila bertemu dengan pemimpin atasan adalah baik dan tertib tetapi amat berbeza sekali apabila berdepan dengan orang ramai.

Rakyat percaya masih ada lagi aduan mengenai wakil rakyat dan pemimpin lain yang diterima oleh Sultan Selangor. Umno Selangor perlu juga mengadakan post mortem terhadap prestasi terkini wakil rakyatnya.

Biarlah teguran Sultan itu menjadi pedoman untuk menjadi seorang pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat dan mengetepikan soal peribadi dan mencari kesenangan.

Sebagai pemimpin, sewajarnya menunjukkan kepemimpinan melalui teladan supaya menjadi ikutan rakyat bawahan. Tetapi apabila pemimpin mengamalkan melanggar undang-undang, bagaimana pula hendak menegur rakyat yang melanggar undang-undang.

ZURAIDAH AMIR HAMZAH,
Surat&Emel BH 30/10/06
Seksyen 7, Shah Alam.
 

 

 

Zakaria (tengah) ditemani
dua anak lelakinya keluar dari pekarangan Istana
Kayangan Shah Alam

 

 

 

 

 

 

Peribadi YB Pelabuhan Klang tiada ciri kepemimpinan


AKHIRNYA Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Datuk Zakaria Md Deros telah pun menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Sabtu lalu di istana baginda.

Hasil pertemuan itu, Sultan Selangor menasihatkan Zakaria supaya melepaskan jawatan Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebagai jalan terbaik untuk meredakan segala kontroversi yang timbul berkaitan dengan dirinya.

Menurut Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohammad Munir Bani, Sultan Sharafuddin juga menyatakan baginda menerima banyak aduan dan keluhan daripada pelbagai pihak berhubung dengan sikap Zakaria yang angkuh dan kasar selain banyak menyakiti hati rakyat dengan menggunakan kuasa yang diberikan kepadanya.

Di mana-mana saja ada rumah terbuka atau di kedai kopi dan selain isu di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, isu banglo mewah serta sikap angkuh Zakaria turut menjadi bualan yang cukup hangat.

Pelabuhan Klang adalah salah sebuah pelabuhan terpenting di negara kita, namun kepada mereka yang belum pernah sampai ke sana, ringan-ringankan diri untuk melawat kawasan di sekitar Pelabuhan Klang, lihatlah sendiri dengan mata anda bagaimana jalan yang masih berlopak-lopak dan tidak terurus bagaikan tidak ada wakil rakyat yang mewakili kawasan berkenaan.

Persoalannya apakah sebenarnya tugas wakil rakyat di kawasan berkenaan sehingga tidak mempedulikan kepentingan rakyat?

Persoalannya, apakah sikap sebagai seorang yang bergelar Yang Berhormat perlu berlagak angkuh, sombong dan menyakiti hati rakyat? Saya berpendapat Zakaria bukan saja perlu melepaskan jawatan sebagai Ahli MPK tetapi beliau juga perlu melepaskan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang.

Rakyat tidak memerlukan seorang pemimpin yang bersikap sedemikian rupa di mana dengan secara jelas Zakaria tidak menunjukkan ciri-ciri seorang pemimpin Islam Hadhari.

Melepaskan jawatan sebagai Ahli MPK atau diperintah membayar denda di atas kesalahan mendirikan banglo mewah bukannya satu jalan penyelesaian terbaik. Ini kerana sekiranya Zakaria mampu mendirikan banglo mewah yang membabitkan kos berjuta ringgit, maka jika dendanya 20 kali ganda sekalipun beliau mampu membayarnya.

Pak Lah perlu bersikap tegas dalam hal ini dan tidak perlu ada kompromi untuk meredakan kontroversi ini. Pak Lah perlu menasihatkan Zakaria melepaskan semua jawatan yang disandangnya, Adun, ahli majlis dan Ketua Umno Bahagian.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo merangkap Ketua Perhubungan Umno Negeri seharusnya bertindak pantas dan bukannya menunggu tindakan atau perintah yang dikeluarkan oleh baginda Sultan Selangor.

ZUDDINUR, Surat&Emel BH 30/10/06
Taman Brown, Pulau Pinang.