Salam Ramadan
Pasar raya tutup lewat - untung siapa?
Sama-sama untung!
Kebanyakan pasar raya mula mengambil langkah melanjutkan waktu operasi perniagaan pasar raya mereka hingga jam 11 malam. Pelanggan kelihatannya lebih berpusu-pusu pada waktu itu. Mungkin kerana sekarang bulan Ramadan dan juga menghampiri Deepavali.
Selain keadaan ini lebih menguntungkan pihak yang berniaga, ini turut memberi lebih masa kepada pengguna yang lebih gemar membeli belah sebelah malam - kerana siang terpaksa bekerja dan juga mengelakkan keletihan berpuasa.
Tinjauan jendelaku.com ke beberapa pasar raya di Rawang, kelihatan ramai pengunjung yang masih berpakaian seperti baru balik dari masjid. Wanita yang masih bertelekung pun ada.
"Selesai terawih, saya singgah di sini," kata Johana dari kampung berdekatan.
Ini bermakna mereka mengunjungi pasar raya selepas selesai solat terawih sekitar 9.50 malam.
Dengan 'keprihatinan' kebanyakan pasar raya itu, sebenarnya tanpa disedari, ia memberi kemudahan kepada kita, umat Islam. Kini tidak ada alasan lagi untuk meninggalkan solat yang hadir setahun sekali di bulan Ramadan yang mulia dan penuh berkat.
"Elok ada pasar raya yang buka hingga lewat sikit macam ini kerana boleh pergi selepas terawih," kata seorang pengunjung, Ruhila. Dia masih mengenakan telekung dan singgah sebentar untuk membeli bekas kuih raya di pasar raya itu.
Namun ada juga yang tidak mengambil 'kemudahan' ini sebaliknya berkunjung ke pasar raya sebaik selesai berbuka puasa.
Ini membuatkan sepuloh Ramadan terakhir, suasana di masjid semakin sunyi hingga tidak dapat memenuhkan satu saf pun!
Walau diperingat oleh ahli agama untuk memperbanyakan amal ibadat terutama pada 10 Ramadan terakhir namun masih ramai kalangan masyarakat kita yang memilih untuk 'beribadat' di pasar raya membeli belah persiapan Aidilfitri.


