Salam Ramadan
Mat rempit salah siapa? Ibu bapa?
ROSLEE MARDAN, Universiti Utara Malaysia, dalam suratnya ke Berita Harian pada 18 Okt 2006 (ruangan emel&surat) berpendapat 'Ibu bapa mat rempit patut dipersalah'.
Baca pendapat beliau seterusnya.
KITA harus sedar ada ketikanya sesuatu perkara yang remeh atau kecil itu mempunyai rantaian kesan yang berpanjangan. Demikian masalah mat rempit yang hangat diperkatakan sekarang. Isu itu menenggelamkan isu bohsia, bohjan dan lepak, walaupun ia masih wujud.
Sekarang kita boleh melihat pelbagai gejala sosial ini mempunyai pewaris
tersendiri terutama golongan kanak-kanak. Mereka menggelarnya sebagai ‘rempit
junior’. Saya sendiri melihat kanak-kanak berumur 10 tahun menunggang motosikal
dan berlumba basikal pada waktu petang.
Selain itu, kanak-kanak wanita pula tidak ketinggalan menunggang motosikal tanpa
sedikit kebimbangan. Mereka juga berani melakukan aksi sama seperti mat rempit.
Ia berlaku kerana ada pengaruh golongan remaja atau dewasa yang menunggang
motosikal.
Bagi ahli psikologi tentunya mereka memahami bahawa keadaan ini berupaya
membentuk peribadi kanak-kanak liar dan tidak terkawal apabila semakin dewasa.
Sebab itu kita perlu menghapuskan golongan rempit yang memaparkan contoh tidak
baik kepada masyarakat.
Saya berfikir bahawa mat rempit perlu diberi pengajaran atau hukuman yang boleh
menginsafkan mereka. Hanya hukuman penjara yang boleh membuatkan mat rempit
sedar dengan kesalahan mereka.
Tetapi, mengapa pula hukuman penjara ini tidak dijalankan. Mengapa perlu wujud
persoalan hukuman penjara hanya akan merosakkan masa depan mereka. Kita perlu
melihat hukuman penjara ini daripada perspektif berbeza.
Kerajaan tidak boleh terlalu bertoleransi dengan golongan mat rempit dengan
hukuman sekadar menggantung lesen dan merampas motosikal mereka. Langkah ini
tidak efektif. Yang melakukan kesalahan ialah manusia bukannya lesen atau
motosikal.
Jadi,
mengapa hanya lesen digantung dan motosikal dirampas tanpa menghukum pesalah
sebenar. Bagi saya, jika seseorang itu mempunyai kesedaran, walaupun
memiliki motosikal dan lesen, mereka tidak akan membabitkan diri dengan
lumba haram sehingga membahayakan pengguna jalan raya serta orang awam.
Kalaupun pihak berkuasa menggantung lesen pemilik, ia tidak menghalang
mereka berlumba semula kerana di kalangan mat rempit juga kebanyakannya
tidak ada lesen memandu.
Gejala mat rempit akan melahirkan lebih ramai individu jika tiada
undang-undang yang berat dikenakan kepada mereka. Malah, bukan saja mat
rempit, gadis belasan tahun terjebak sebagai pelacur, selain itu ramai ahli
mat rempit menjadi perompak, kaki lepak, perogol, peragut, kumpulan samseng
dan penagih dadah.
Saya bersetuju dengan kebanyakan pendapat bahawa ibu bapa tersilap langkah
dalam memberi kemudahan kepada anak mereka. Dalam kata lain, ibu bapa kurang
mengambil berat perkembangan sahsiah anak.

Ibu bapa terlalu membiasakan anak mereka memiliki motosikal dan membiarkan
mereka melepak di sana-sini. Sesetengah alasan yang diberikan adalah untuk
kemudahan anak ke sekolah. Jika benar, ibu bapa perlu mengambil tindakan
tegas.
ROSLEE MARDAN,
Universiti Utara Malaysia.

