Salam Ramadan

 

 

 

Halaman UtamaKata KusyiProdukKaunselingAgamaAkhmar

New Page 2

 

Potong tangan?

'Gadis Trauma' setuju kerana ragut bertambah serius

Edisi Timur : Nenek mangsa ragut Mat Gian
KUALA TERENGGANU: Seorang nenek berusia 95 tahun yang melalui lorong digunakan kumpulan penagih dadah melepaskan ketagihan menjadi mangsa ragut Mat Gian semalam.

Patah rusuk kejar peragut
JOHOR BAHRU: Hasrat seorang mangsa ragut mengejar dan melanggar motosikal dinaiki peragutnya membawa padah apabila dia cedera parah di mata, patah tulang rusuk kiri dan tangan kirinya dalam satu kejadian di Jalan Tebrau, di sini, Isnin lalu.

Di atas merupakan tajuk-tajuk akhbar yang menjadi penghias utama berita setiap hari. Ragut makin menjadi-jadi. Bagi yang sudah kena atau pernah menjadi mangsa, memori duka sukar dipadamkan. Ada yang cedera, ringan dan parah, ada yang meninggal dan ada yang hanya terkedu melopong melihat nasib yang menimpa.

Sebab itu ada mangsa yang mengatakan memang wajar hukuman potong tangan dikenakan pada peragut itu.
 

Mangsa ragut sokong hukuman potong tangan

Saya adalah pelajar Institut Pengajian Tinggi di Shah Alam dan merupakan mangsa ragut kira-kira sebulan yang lepas. Kejadian itu berlaku ketika saya pulang dari kelas bersama kawan-kawan.

Sehingga kini saya masih mengalami trauma yang teruk akibat kejadian tersebut. Saya sama sekali tidak menduga kejadian itu akan menimpa saya.
 

Ternyata kebimbangan ibu bapa saya ada asasnya semasa saya membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran. Dari sebuah kampung di utara, saya berkelana di perantauan demi mengubah nasib keluarga.

Kejadian yang berlaku menyebabkan saya cedera akibat terjatuh setelah peragut merentap beg sandang saya. Saya menerima berbelas-belas jahitan pada siku dan lutut.

Keadaan saya amat teruk ketika itu, dengan ketiadaan wang. Selain duit, saya turut kehilangan dokumen penting seperti kad pengenalan, kad ATM bank, lesen memandu, buku serta peralatan pelajaran dan telefon bimbit.

Minggu pertama amat menyeksakan, dengan pergerakan yang terbatas serta kesakitan. Saya terpaksa berurusan dengan jabatan-jabatan terbabit untuk memohon semula kad pengenalan dan lain-lain dokumen.

Saya terpaksa ke balai polis, Pejabat Pendaftaran Negara, pejabat pesuruhjaya sumpah, bank dan pejabat pentadbiran tempat saya menuntut.

Tidak cukup dengan kesusahan ke sana ke mari, saya juga telah didenda ketika membuat MyKad walaupun kehilangan tersebut bukan di atas kehendak saya. Bayangkanlah pelajar seperti saya, yang bukan datang daripada keluarga yang berada, ditimpa nasib begini.


Manalah saya mempunyai wang untuk menghadapi keadaan tidak diduga ini setelah akaun saya dibekukan dan wang saya diragut.

Pada waktu biasa pun hanya mi segera menjadi santapan harian. Inikan pula ketika berlaku kejadian begini. Dengan doa yang tidak putus-putus, saya mengharap kekuatan daripada Ilahi untuk menghadapi semua ini.

Sehingga kini kejadian itu membuat saya tidak dapat tidur lena dan mengalami gangguan fikiran. Saya tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Matlamat saya untuk mendapat sekeping ijazah terasa kabur dan saya belum memperoleh kekuatan untuk bangkit semula.

Saya sentiasa dihantui perasaan takut untuk keluar ke kelas atau ke perpustakaan.

Tujuan saya bercerita ini bukan untuk mendapat simpati, tetapi kerana ingin menceritakan tentang penderitaan seorang mangsa ragut. Saya yakin ada mangsa yang lebih teruk daripada saya sehingga mengundang kecacatan kekal atau kematian.

Oleh itu, saya berasa tidak ada satu sebab pun, mengapa peragut tidak boleh menerima hukuman yang berat seperti potong tangan. Kalau hati mereka ada perasaan perikemanusiaan, mereka tidak akan meragut sehingga sanggup mencedera dan menyusahkan hidup orang lain.

Penjara setahun dua, selepas itu dibebaskan tidak akan menginsafkan mereka, kerana mereka menganggap penjara itu hanya sebagai ‘hotel’. Apakah perlu bertimbangrasa atau berperikemanusiaan dengan orang begini?

Mereka yang tidak mengalami kejadian ragut hanya tahu bercakap. Mereka tidak dapat menyelami penderitaan mangsa ragut, trauma yang entah bila dapat diatasi, semangat yang entah bila akan datang kembali dan parut yang entah bila akan hilang.

Sehubungan itu, saya memohon kepada kerajaan agar dapat menggubal undang-undang baru yang lebih drastik bagi mengatasi kejadian ragut dan samun terus berleluasa.

– GADIS TRAUMA, Shah Alam. Utusan Malaysia, Forum 12/10/06


Jangan lihat cadangan potong tangan dari kaca mata agama

SAYA amat bersetuju dengan pandangan Syed Abdullah Osman Jamalullail berkenaan hukuman potong tangan bagi jenayah curi, samun dan rompak. Ketika kadar jenayah semakin meningkat di negara ini, kenapa cadangan ini tidak dipertimbangkan?

Sehubungan ini, saya amat menduga pandangan Edwin Michael yang menyifatkan cadangan itu sebagai keterlaluan dan tidak berperikemanusiaan.

Saya percaya bahawa Edwin Michael (jika benar beliau bukan Islam berdasarkan namanya) melihat cadangan itu dari kaca mata seorang bukan Islam terhadap sesuatu ciri perundangan Islam.

Dalam melontarkan cadangannya, Syed Abdullah tidak sedikit pun mengaitkan hukuman potong tangan itu sebagai perundangan Islam, sekalipun hukuman tersebut terdapat dalam undang-undang hudud dan tiada dalam kanun jenayah sivil.

Disebabkan memandang sesuatu itu dengan prejudis agama, maka Edwin Michael begitu lekas menolak cadangan tersebut.

Betapa beliau juga menyifatkan cadangan hukuman potong tangan sebagai sesuatu yang ‘tidak berperikemanusiaan.’

Hujah beliau iitu jelas menunjukkan beliau mahu menjaga kepentingan penjenayah lebih daripada kepentingan umum dan mangsa-mangsa jenayah.

Tidakkah beliau sedar betapa banyak nyawa telah terkorban akibat perbuatan peragut yang keterlaluan untuk mendapatkan beg tangan atau dompet mangsa?

Betapa ada suami kehilangan isteri, anak kehilangan ibu dan ibu bapa kehilangan anak kerana nyawa mereka melayang akibat kemalangan yang berlaku setelah mereka ditolak atau ditikam oleh peragut.

Apakah Edwin Michael menganggap perbuatan sedemikian bukan sesuatu yang tidak berperikemanusiaan?

Jika perikemanusiaan menjadi hujah dalam menegakkan sesuatu perundangan, mengapakah tiada siapa yang membantah hukuman mati terhadap pengedar dadah? Bukankah hukuman mati lebih berat daripada potong sebelah tangan.

Dalam melaksanakan hukuman potong tangan, tidak semestinya itu menjadi pilihan mandatori bagi para hakim tanpa mengambil kira pelbagai faktor. Ada beza jika ia mandatori atau sekadar ‘boleh dihukum potong tangan.’

Saya seorang Islam, tapi dalam menyokong syor hukuman potong tangan ini, saya memberikan pandangan dari sudut hak asasi manusia yang menjadi mangsa.

Betapa jenayah ragut, curi dan rompak semakin meningkat, sekalipun penjenayah dihukum penjara dan sebat.

Malah Utusan Malaysia dalam berita muka depan pada 10 Oktober 2006 bertajuk Banduan dihukum 84 sebatan risau dibebaskan dengan jelas menunjukkan bahawa hukuman sebat pun gagal mencegah perompak daripada mengulangi perbuatannya sebanyak 39 kali.

Potong tangan lebih berperikemanusiaan kerana ia akan dapat menghalang penjenayah daripada melakukan lebih banyak perbuatan tidak berperikemanusiaan terhadap manusia-manusia lain.

Saya berharap Edwin Michael dan ramai lagi rakyat Malaysia yang bersikap sepertinya akan melihat cadangan ini tanpa sebarang prejudis agama.

Dan saya juga berharap orang-orang Islam tidak lekas melenting terhadap Edwin Michael kerana beralasan bahawa orang bukan Islam tidak berhak memberikan pandangan terhadap hukuman potong tangan.

Cadangan ini tidak berbau keagamaan, tapi perikemanusiaan dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia yang diancam peningkatan jenayah, terutama ragut.

Kita tidak boleh berbincang secara sihat dan rasional jika asyik melihat dengan kaca mata agama.

Faedah daripada pengurangan jenayah hasil hukuman potong tangan hendaklah dinikmati oleh semua manusia di Malaysia, tanpa mengira agama. Inilah yang patut diterangkan kepada bukan Islam.

Apakah Edwin Michael menentang kerana dia juga mahu menjadi peragut? Atau ada adik-beradiknya yang menjadi peragut?

Barangkali, jika ada anggota keluarganya yang cedera parah di kepala kerana ditolak peragut, barulah Edwin Michael akan melihat cadangan ini tanpa berat sebelah di sisi agama, tapi secara rasional dan sebagai manusia yang waras.

– AHMAD RASIONAL, Seremban, Forum, Utusan Malaysia, 11/10/2006