Terkilan
komen artis terhadap kenyataan Mawi
KENYATAAN dikeluarkan oleh Mawi lantaran meletakkan syarat tidak akan
bersentuhan dengan wanita untuk berlakon mendapat respons dan komen beberapa
artis terkemuka tanah air kita.
“Apa Mawi ingat kami bersentuhan, berpegangan tangan dalam filem atau drama,
sebab nak seronok-seronok? Naik syahwat?”.
“Kalau aku berlakon dengan Fauziah Nawi sebagai ibu dan dalam babak itu dia
kemalangan, takkanlah aku nak tengok sahaja dan hanya bertanya dia OK atau tak
sebab tak boleh nak angkat nanti tersentuh?”.
Inilah yang diulas oleh seorang pelakon ternama berkenaan dengan kenyataan
kontroversi Mawi yang dikatakan seolah-olah menghina pekerjaan mencari rezeki
pelakon-pelakon tanah air.
Bagi saya, kenyataan yang dikeluarkan oleh pelakon itu lebih berbahaya. Beliau
bukan sahaja membidas Mawi malah lebih dari itu seolah-olah memperlekehkan hukum
Allah s.w.t secara halus.
Ketetapan hukum yang ditetapkan oleh Allah sudah tentu Maha Adil dan Maha
Bijaksana. Dia lebih memahami apa yang baik dan buruk terhadap hamba-hamba-Nya.
Mengapa mesti mempersoalkan hukum ini?
Seorang lagi artis veteran yang cukup kontroversi pula berkata: “Allah
memberikan kita peluang lima kali sehari untuk mencuci dosa. Malah Dia beri
peluang untuk kita bangun di waktu malam untuk sembahyang tahajud. Jadi tidak
payahlah jaga dosa orang lain kerana setiap kita sudah diberi penjaga oleh Allah
untuk mengira amalan kita. Biarlah malaikat Raqib dan Atid jalankan tugasnya.”
Tambah beliau lagi, “Lebih baik jual kopiah, jual kain kerana industri hiburan
lain macam sikit”.
Saya agak terkilan dengan kata-kata artis veteran itu. Prinsip sembahyang selain
daripada meneguhkan tiang agama dan membezakan orang Islam dan bukan Islam ialah
untuk mencegah daripada melakukan perkara-perkara kemungkaran. Seperti mana
firman Allah s.w.t yang bermaksud, “Sesungguhnya solat itu mencegah dari perkara
keburukan dan kemungkaran.”
Apakah erti solat sekiranya ia tidak mencapai objektif yang ditetapkan oleh
Allah s.w.t itu. Sebagai seorang Muslim, kita dipikulkan dengan amanah untuk
melakukan amar makruf dan nahi mungkar kepada sesiapa sahaja mengikut kemampuan
kita. Sekiranya kita melihat kemungkaran tetapi kita juga tidak mencegahnya maka
kita juga akan terpalit dosanya.
Allah s.w.t tidak mengecualikan hukum kepada golongan artis. Lebih baik kita
berniaga daripada terus berkompromi dengan perkara ini.
Saya ingin memohon maaf kepada golongan artis tanah air kerana kenyataan ini
bukan hanya melibatkan periuk nasi anda semua, tetapi ia juga melibatkan
persoalan ‘akidah Islamiah dan tahap keimanan kita kepada-Nya.
Saya menyeru agar kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan meminta
bimbingan daripada para alim ulama agar kita sentiasa dipandu ke jalan yang
lurus.
11 Okt 2006 - Utusan Malaysia

New Page 2
Kenapa pertikai
keinsafan Mawi?
Manusia ada kelemahannya walau pun dia
seorang Mawi!
Hebat bunyinya ayat di atas tetapi
mengaitkan Mawi dengan perkataan fenomena juga merupakan sesuatu yang
meremangkan bulu roma. Munculnya Mawi menyumbang sejarah tersendiri dalam
catatan perjalanan negara kita. Baik seni, politik atau agama.
Mahu atau tidak itulah yang terjadi.
Dari hari ke hari, ada saja kisah Mawi
menjenguk diari perjalanan hidup kita.
Maka bergemalah tentang hajat Mawi mahu
berlakon bagi mengembangkan sayap seninya. Dia mahu terbang tinggi dan terus
tinggi hingga mencapai langit agaknya.
Namun setelah setahun melakukan apa yang
di minta khalayak contohnya berpegang tangan bukan muhrim, bergambar dekat-dekat
untuk muka depan akhbar dan isi dalamnya, Mawi kini punya kuasa untuk menetapkan
syarat.
Dahulu Siti Nurhaliza juga mempunyai kuasa
ini - tidak mahu bergambar berdua dengan lelaki. Cuma dia tegas dengan peraturan
itu sejak awal pembabitan manakala Mawi pula - dulu boleh sekarang tidak!
Jadi ramai yang mempertikai dan tidak puas
hati dengan peraturan Allah yang mula diikuti Mawi ini.
Kita boleh berani mempertikai apa-apa saja
tindak tanduk buruk atau kontroversi yang dibangkitkan Mawi tetapi kenapa kita
berani juga mempertikai peraturan Allah yang cuba Mawi patuhi.
Adakah kerana dia seorang Mawi - kita
boleh mengutuk sesuka hati. Sepatutnya tidak kali ini kerana apa yang ditegasnya
itu benar. Sepatutnya kita sokong!
Baca surat MIOR ISFANDY MIOR AZIZAN,
Presiden Persatuan Mahasiswa Ilmu Wahyu & Warisan Islam, Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia di ruangan forum Utusan Malaysia tentang perkara ini
dengan lebih jelas lagi.
Mungkin ini akan memberi kesedaran kepada
kita semua termasuk media supaya tidak mempertikai perkara ini.