Arkib lagi...
Bertarikh 19 September 2006, seorang pembaca, SYED ABDULLAH OSMAN JAMALULLAIL dari Ampangan, Seremban, menghantar surat ke ruangan forum Utusan Malaysia dan Surat & Emel Berita Harian, meminta umat Islam seMalaysia berhati-hati dengan minuman ringan dalam tin yang dikatanya mengandungi alkohol.
Di dalam Utusan menyebut tentang nama minuman itu - 'Minuman shandy ini dikeluarkan oleh sebuah syarikat pengeluar bir tempatan.'
Manakala Berita Harian pula, ayat di atas telah diedit dan tidak disiarkan. Mungkin menjaga sensitiviti produk.
Di bawah ialah keseluruhan surat itu dari UM dan BH.
Versi Utusan Malaysia.
Waspada air berperisa limau mengandungi alkohol
UMAT Islam terutama remaja yang gemar minuman ringan di dalam tin diharap
berwaspada terhadap produk berperisa limau yang mengandungi alkohol.
Kandungan alkohol itu dinyatakan dalam tulisan yang amat kecil pada label tin.
Kebanyakan orang tidak akan perasan kecuali membacanya dengan teliti.
Yang lebih mengelirukan, warna dan bentuk tin adalah sama dengan tin-tin minuman
tidak berakohol yang lain.
Diharap pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dapat memantau. Minuman shandy ini
dikeluarkan oleh sebuah syarikat pengeluar bir tempatan.
Sehubungan ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
hendaklah mengarahkan syarikat berkenaan melabel semula produk itu dengan
tulisan ‘mengandungi alkohol’ yang lebih jelas.
Malah apa jua produk yang mengandungi alkohol hendaklah disyaratkan supaya
menyatakan dengan jelas pada label agar pengguna tidak terkeliru.
Saya juga mencadangkan supaya setiap minuman dalam tin yang mengandungi alkohol
diwajibkan mencetak tanda amaran khas kepada semua umat Islam bahawa arak itu
haram dan tidak baik bagi kesihatan.
Kalau setiap kotak rokok yang diedarkan di negara mempamerkan amaran bahawa
merokok itu membahayakan kesihatan dan premis jualan nombor ekor mempamerkan
larangan kepada umat Islam, tetapi kenapa tidak minuman yang mengandungi alkohol
walaupun sedikit?
Dan pastikan minuman yang mengandungi alkohol (walaupun hanya setitik)
diasingkan jauh dari minuman tanpa alkohol di premis jualan, sama ada kedai
runcit atau pasar raya.
Versi Berita Harian
Pantau minuman berperisa limau
UMAT Islam terutama sekali remaja yang gemar minuman ringan dalam tin diharap akan berwaspada dengan keluaran minuman berperisa limau yang mengandungi sejenis alkohol yang diharamkan.
Bahan yang
tertera di belakang tin menyatakan ia mempunyai kandungan tertentu alkohol.
Apa yang mengelirukan kita ialah warna dan bentuk tin yang menyerupai tin
minuman ringan bergas yang lain. Minuman ringan yang mengandungi alkohol ini
boleh didapati di mana-mana sekarang ini.
Diharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dapat membuat siasatan minuman
ringan yang dikeluarkan syarikat pengeluar bir tempatan.
Jika benar, diharap Jakim mengeluarkan arahan supaya syarikat bir berkenaan
mencatatkan perkataan alkohol itu lebih besar di bahagian depan tin. Bekas
tin yang hendak digunakan pun mesti tidak menyamai warna dan bentuk tin
minuman ringan bergas yang lain.
Saya mencadangkan supaya setiap tin minuman yang mengandungi alkohol
diwajibkan mencetakkan tanda amaran khas kepada semua umat Islam bahawa arak
itu itu haram.
Kalau pada kotak rokok diletak tanda amaran rokok membahayakan kesihatan,
begitu juga premis jualan nombor ekor yang mempamerkan papan kenyataan
bahawa umat Islam tidak dibenarkan berjudi, kenapa tidak pada botol dan tin
minuman keras?
SYED ABDULLAH OSMAN JAMALULLAIL,
Ampangan, Seremban.
Nota: Sekiranya pembaca menemui minuman ini, hantarkan
pada jendelaku untuk kami siarkan.
kusyihirdan@gmail.com
Cover Story

