Teater Petua Perkahwinan - Mudah buat Hushairi!
Tulisan: Kusyi Hirdan
Gambar: Zul Haron
Seorang
gadis menelefon kaunselor dan mengadu tentang tunangnya yang terkena kejutan
budaya.
Apa nasihat si kaunselor? Kata kaunselor kejutan budaya sebenarnya elok sikit saja dari kejutan elektrik. Tidak fasal-fasal pula si kaunselor menyuruh si gadis menumpukan diri pada perkembangan bakat seninya.
Jadi jelas sekali teater Petua Perkahwinan memang menyentuh isu semasa dan isu yang dikaitkan itu tentu saja termasuk isu putus tunang lelaki popular terkini.
Hebat, memang hebat lelaki itu. Selain menjadi lawak di anugerah Era, isu putus tunang juga dikaitkan dalam teater.
Memanglah asalnya hendak melihat keupayaan Nordiana Naim yang hanya berlakon dua babak dalam teater ini. Babak satu dan babak akhir. Tetapi setelah tiba, kehebatan Hushairi Hussain, pelakon utamanya juga harus dipandang sama. Hushairi muka biasa dalam teater dan jika di tv dia salah seorang pemegang watak regular Salam Pantai Timur.
Petua Perkahwinan tentang dua watak utama Mohd Odai lakonan Hushairi dan Amira (Abot) yang bertemu kaunselor hebat dan popular Kapten Aman Jantana (Prof Rahman Shaari). Masing-masing mempunyai masalah besar dan mahu Kapten membantu dan mendoakan mereka. Perlu diingat, kaunselor ini langsung tidak ada latar belakang ketenteraan. Dia digelar kapten hanya kerana pernah menjadi kapten bolasepak lebih 40 tahun lalu.
Sesi kaunseling yang diselang seli dengan lagu nyanyian ketiga-tiga mereka dan lawak jenaka selamba membuatkan teater ini tidak bosan.
Berbuka puasa di Hotel Putra - 8 Sept 2006
Mudah buat Hushairi?
"Ya. Teater kali ini biasa saja dan
tidaklah mencabar sangat. Lagi pun saya sangat aktif berlakon teater, sudah
tidak ingat ini yang ke berapa... Petua Perkahwinan tidaklah memerlukan saya
membawa watak yang berat atau susah. Memang boleh dikatakan senanglah."
Jelasnya
sambil tersenyum mesra.
Tubuhnya yang kecil membuatkan dia sering dikatakan masih 'budak' walhal usianya sudah 29 tahun. Hushairi tergelak dan mengangguk.
"Teater ini memang bersifat sindiran tetapi ia bukan berat. Ringan dan mudah difaham. Ada isu biasa tentang wanita dan buruk laku lelaki. Saya sebagai Mohd Odai digambarkan lelaki yang sudah 8 kali bertunang tetapi tidak berjaya naik pelamin kerana tidak berjumpa kesempurnaan seorang wanita. Walhal diri sendiri pun tidak sempurna tapi hendak wanita yang bagus-bagus. Kerana itulah watak saya berjumpa Kapten Aman untuk minta nasihat."
Dari kini: Ina, Hushairi dan Abot.
Tentang Abot
"Saya suka dengan kesungguhan Abot tetapi dia belum jatuh cinta sepenuhnya dalam bidang teater. Saya sendiri amat meminati bidang ini. Hanya di pentas teater saya mendapat kepuasan lakonan yang sebenarnya."
Tentang Diana Naim
"Jika dia mahu serius, banyak lagi yang perlu dipelajarinya. Ini penampilan pertamanya dan jalan cerita sedikit sebanyak ada kena mengena dengan Ina. Kehadiran Ina memang mewarnakan lagi teater ini tetapi rasanya, ia sudah cukup kuat untuk berdiri dengan sendiri. Walau tanpa Ina pun, teater ini berjalan juga."
Hushairi belum boleh jadi crowd puller? Tanya penulis.
"Belum lagi. Saya masih hijau." jawapnya merendah diri. Graduan Universiti Malaya ini mungkin suatu hari nanti menjadi pelapis pelakon teater hebat seperti Khalid Salleh dan gayanya ada sedikit persamaan dengan keyakinan dan keselambaan Imuda. Kita tunggu dan lihat. Hushairi kelihatan telus dan memberi pendapatnya dengan jujur.
Saksikan nanti teater Kura-kura Naik Lif, juga menampilkan Hushairi sebagai watak utama.


Amira (Abot) dan Kapten Aman (Prof Rahman Shaari)
COVER STORY

