Halaman UtamaKata KusyiProdukKaunselingAgamaAkhmar

New Page 2

PENGURUS: Ina tegas dengan prinsipnya


Tulisan: Kusyi Hirdan

Gambar: Zul Haron

 

Salwani Saidi (Wani) merupakan junior penulis. Walau kami berlainan jabatan dahulu tetapi kami sering bertemu di surau. Masih ingat lagi, orangnya kecil molek dan comel sekali dan pada malam makan malam syarikat Wani tampil ke pentas menyampaikan lagu. 

Suaranya? Hmm... boleh tahan merdunya. Sejak itu saya membulatkan tekaan, gadis kecil molek itu pasti berani orangnya
 

 

 

 

Ina diapit Wani (kanan) dan pengarang bukunya Zurilawati Ku Zaifah.

 

 

 

Dua tahun telah berlalu dan kami masing-masing membawa haluan sendiri ke syarikat lain. Kami tidak mungkin bertemu lagi jika tidak kerana Diana Naim, yang kita semua kenali sebagai bekas tunang Raja Sms, Mawi.

Rupa-rupanya Wani kini bernaung di syarikat sama gadis kelahiran Kulai itu dan turut dipertanggungjawabkan menguruskan perjalanan kerjaya seni Ina.

Pilihan yang tepat kerana sebagai wartawan Wani tentu saja arif dengan dunia seni yang kini menjadi karier Ina. Pengurus Siti Nurhaliza, Rozie juga dulu bekas wartawan...

Kita ikuti apa pandangan Wani tentang Ina dan perjalanan kariernya.

 



 

Bagaimana segalanya bermula?

Saya dan Ina berkenalan  awal Julai lalu. Ina asalnya datang untuk jadi model teknik-teknik memakai tudung untuk Celcom. Itulah pertemuan pertama kami. Tidak berapa lama selepas itu baru saya mendapat tahu Ina ditawarkan bekerja di syarikat sama. Semuanya bagai berjalan lancar satu demi satu bila saya kemudiannya ditugaskan mengurusi perjalanan kerjaya Ina yang nampaknya mula berputik dan berbuah.

First impression saya pada Ina? Risau juga kami tidak 'sekepala' atau susah memahaminya. Tetapi apa yang berlaku sebaliknya pula. Saya dan Ina cepat mesra dan terus rapat sebagai kawan.

 

Wani: "Hubungan yang jujur dan ikhlas penting dalam setiap perhubungan. Begitulah 'kami' dan Ina."

 

Perjalanan karier Ina sekarang?

Tidak sangka sebenarnya, permintaan khalayak pada Ina boleh dikatakan 'hebat'. Bukanlah pihak kami hendak besar diri pula, tidak sama sekali. Tetapi hakikatnya memang begitu walau dia sangat baru. Dan ina ni, dia pandai membawa diri. Tidak gelabah dan memang membanggakan sekali kita cara kalau tengok cara dia bermula dan kita melalui cabaran satu demi satu. Saya perhatikan dia cukup pandai berdepan dengan orang ramai, begitu juga press. Memang semulajadi.

Sebenarnya kak, Wani juga dulu peminat Mawi (ketawa kecil). Tiba-tiba kena mengurus bekas tunang kepada Mawi, rasa risau juga. Tetapi sebenarnya, apa yang terjadi kemudiannya, Ina okay sangat. Kami terus jadi kawan dan ini memudahkan kerja semua pihak.

 

Cerita sikit tentang sikap sebenar Ina...

Okay, Ina sangat matang, tabah dan ikhlas. Dia baik hati dan pemurah serta jelas jujur dengan apa yang mahu dilakukannya. Dia jujur dengan prinsip dan niat hatinya. Dia bagaikan bangkit dari segala kesengsaraan kerana mahu menolong keluarganya. Saya rasa kes putus tunang tu masih ada dalam ingatan tetapi yang lebih difikirnya sekarang ialah keluarganya di kampung. Kes putus tunang tu sudah jadi 'sejarah' yang mewarnai hidupnya. Lagi pun semua tu sudah berlalu.

Ina ni... dia tak akan buat sesuatu semata-mata untuk memuaskan hati kami atau ikut saja kata kami. Dia membuat keputusan yang terbaik demi nama baiknya sendiri. Apa-apa aktiviti yang kami rancangkan untuknya, saya akan tanya dia dulu, dapatkan pendapat dan persetujuan dia sendiri. Kami berbincang dalam-dalam dan dari hati ke hati. Itu memang cara saya, kak.

Diana Naim - gadis muda yang sangat berpendirian - berprinsip. Kalau dia tak mahu, dia akan cakap terus. Kita pun hormatilah pendiriannya. Tidaklah sebab dia orang kampung atau muda senang nak diperkotak-katikkan. Sebenarnya tidak. Kalau ada yang berfikir begitu, memang salah sama sekali.

 

Bermakna dia gadis yang 'kuat' hatinya?

Ya. Mungkin kerana dia sudah melalui segala bentuk dan jenis penderitaan. Mungkin kita semua baru saja tahu tetapi bagi Ina, dia sudah melaluinya lama dulu. Perkara-perkara itulah yang rasa saya menguatkan dan menjadikannya gadis yang tabah.

Dan Alhamdulillah, kerana datang dari keluarga yang kuat agama, Ina sangat menjaga solatnya. Dia sentiasa ingat tentang waktu solat dan mendahuluikannya. Sesibuk mana pun, dia pasti lakukan kewajipan itu.

Dalam apa juga yang hendak di buat, dia akan berselawat dan banyak beristighfar. Itu pesan dan ajaran keluarganya, dia memang sentiasa ingat dan mengamalkannya. Ina ni saya lihat mendapat kekuatan diri dengan banyak mengadu pada Yang Maha Esa. Banyak membaca yassin dan ayat kursi, untuk tenangkan diri dan mendapat kekuatan. Di mana-mana juga, pantang ada masa terluang dia akan mengaji.

Cabaran mengurus Ina?

Buat masa ini, cabaran utama apabila menghadapi perkara-perkara yang tidak dijangka. Kita sudah ada jadual tersusun untuk Ina tetapi orang kadang-kadang tak faham, hendak juga bertemu, temuramah dan sebagainya. Tetapi segalanya kami cuba atasi sebaik mungkin. Saya dulu pun wartawan. Dengan Ina pula ialah ketegasannya. Tetapi sebenarnya ketegasan itu yang terbaik untuk kami semua supaya masing-masing tidak tersasar.

 

Apabila Mawi menyuruh Ina berhati-hati pada orang sekeliling. Apa perasaan Wani?

Sesiapa pun akan berpesan begitu. Ia mungkin atas kesedaran Mawi sendiri sebab dia sudah melaluinya sebelum Ina. Saya tak rasa apa. Untuk pengetahuan semua, hubungan kami - syarikat, dan Ina berlandaskan kejujuran dan ikhlas.

Kami tak akan memaksanya dan selalu bertanya pendapat dan kesediaanya. Apa-apa sajalah. Sesi fotografi atau aktiviti apa pun. Kita biar saling menghormati dan memahami, dalam apa juga hubungan 'kan. Walau pun untuk 5 minit interview, saya mesti cakap dulu dengan dia. Saya mahu dia bersedia dan nampak profesional. Saya pun nak jaga hubungan baik dengan press dan orang ramai. Semuanya demi kebaikan bersama...


Adakah Ina masih menangis?

Rasanya dia sudah lama menanggung semuanya dan jenuh menderita. Kalau teringat tu, atau macam itu hari pada masa rancangan live Ina - Mawi, memang dia menangis waktu itu. Tetapi sekarang zaman kebangkitan Ina dan kita boleh nampak ketabahan seorang wanita.

Harapan Wani?

Jika Ina mahu terus meningkatkan dirinya, saya rasa tidak mustahil Ina boleh pergi jauh lagi dan terkenal. Segalanya mungkin. Jangan ubah prinsip, sebab prinsip sedia ada akan membuatkan orang menghormatinya. Disiplin Ina sekarang amat okay. Memang itu yang kami tekankan. Disiplin mesti nombor satu dan apa yang Ina buat biar dia sendiri suka. Bukan terpaksa atau dipaksa.

Cover story